Sejarah PlayStation Vita

Latar belakang

Selepas era kegemilangan produk di bawah jenama Game Boy keluaran Nintendo pada era 1990-an sehingga awal tahun 2000 dengan saingan yang sedikit daripada pesaing lain, dan kejayaan terbesar Sony menerusi sambutan hangat pada konsol PlayStation dan PlayStation 2, Sony berhasrat untuk memasuki pasaran konsol permainan video mudah alih. Pada tahun 2004, Sony mengeluarkan konsol PlayStation Portable (PSP) untuk bersaing bersama konsol Nintendo DS sebagai sebahagian daripada generasi ketujuh konsol permainan video.[2] Selepas permulaan yang agak hambar di pasaran dunia, jualan konsol ini kemudian dirancakkan di Jepun dengan beberapa judul permainan video siri Monster Hunter dibangunkan.[2][3] Walau bagaimanapun, siri permainan video ini tidak begitu mendapat sambutan hangat di pasaran barat, menyebabkan konsol PSP gagal dijual dengan begitu baik. PSP akhirnya membawakan beberapa keputusan yang bercampur-campur kepada Sony. Dari sudut positif, konsol PSP dilihat sebagai pesaing utama buat pertama kali yang bersaing terus dengan konsol mudah alih keluaran Nintendo di mana ia telah terjual sebanyak 80 juta unit, jumlah yang lebih kurang sama dengan hasil jualan konsol Nintendo Game Boy Advance pada generasi keenam.[2] Dari sudut negatif pula, PSP hanya mampu terjual lebih daripada separuh daripada hasil jualan konsol Nintendo DS yang mencatatkan jualan sebanyak 150 juta unit pada penghujung tahun 2011.[4]

Khabar angin mengenai pengganti konsol PSP bermula seawal bulan Julai 2009 apabila laman sesawang Eurogamer melaporkan bahawa Sony sedang membangunkan konsol mudah alih yang akan menggunakan cip mikpemproses PowerVR SGX543MP dan menawarkan prestasi yang sama seperti konsol Xbox.[5] Sepanjang tahun 2010, beberapa laman sesawang melaporkan khabar angin mengenai pembangunan konsol "PSP 2".[6][7][8][9][10] Dalam acara Tokyo Game Show, laporan menyebut konsol terbaharu ini sudah didedahkan semasa mesyuarat tertutup pada pertengahan bulan September yang diadakan di ibu pejabat Sony Computer Entertainment di Aoyama, Tokyo.[7] Sejurus selepas itu, ada laporan yang mengatakan bahawa kit pembangun untuk konsol terbaru Sony ini sudah dihantar kepada beberapa pembangun permainan video termasuklah pembangun pertama dan pihak ketiga bagi memulakan pembangunan permainan video untuk konsol terbaru ini,[11] dan disahkan oleh penerbit eksekutif Mortal Kombat, Shaun Himmerick.[12] Pada bulan November, naib presiden Electronic Arts, Patrick Soderlund mengesahkan beliau telah melihat sendiri kewujudan konsol yang bakal menggantikan PlayStation Portable, namun begitu beliau tidak mendedahkan butiran lanjut.[13] Pada bulan yang sama juga, VG247 menerbitkan beberapa foto mengenai prototaip konsol yang memiliki persamaan seperti PSP-Go seperti paparan skrin yang diluncur, dua pengawal kayu ria analog, dua jenis kamera dan mikrofon terbina, di samping laporan itu juga menyebut masalah kepanasan melampau menyebabkan Sony terpaksa beralih kepada reka bentuk yang lebih terarah kepada model asal PlayStation Portable.[8][10][14]

Sepanjang tahun 2010, Sony tidak dapat mengesahkan laporan mengenai pengganti kepada konsol PSP, namun begitu memberi komen mengenai konsol yang akan datang. Shuhei Yoshida, presiden Sony Computer Entertainment Worldwide Studios, mendedahkan bahawa walaupun bahagian mereka lebih kepada pembangunan perisian, mereka masih lagi berperanan terus dalam membangunkan perkakasan akan datang.[15] Pada bulan Disember, ketua pengarah eksekutif Sony Computer Entertainment, Kazui Hirai, memberitahu bahawa Sony berhasrat untuk mengembangkan konsol akan datang mereka kepada kumpulan pengguna yang lebih besar dengan penggunaan beberapa input; butang dan pengawal kayu ria untuk pengguna konsol mudah alih biasa dan skrin sesentuh untuk pengguna yang biasa menggunakan peranti pintar.[16] Konsol terbaharu ini diumumkan secara rasmi oleh Sony pada 27 Januari 2011 dalam sidang akhbar semasa acara PlayStation Meeting yang diadakan di Jepun.[17] Konsol ini, yang hanya dikenali dengan nama kod Next Generation Portable, dijangka memiliki kualiti paparan visual setanding dengan konsol PlayStation 3,[17] yang kemudiannya dijelaskan bahawa ia tidak semestinya perlu ke tahap sebegitu menurut David Coombes, pengurus penyelidikan sistem di Sony Computer Entertainment America, "Jadi, ia tidak akan dijana dengan kelajuan 2 GHz (seperti PS3) kerana bateri hanya akan bertahan selama lima minit dan mungkin seluar anda akan terbakar".[18] Prestasi konsol terbaharu ini kemudiannya dijelaskan oleh jurutera Sony sebagai pertengahan antara konsol PSP dan PS3.[19] Khabar angin juga menyatakan bahawa konsol ini bakal hadir dengan manfaat terbaik antara konsol mudah alih dan peranti pintar, menggunakan paparan skrin berjenis OLED bersaiz 5 inci, pad sesentuh di bahagian belakang berserta dengan butang fizikal dan dua pengawal kayu ria.[20] Sony juga mendedahkan bahawa permainan video untuk konsol ini hadir dalam bentuk muat turun secara digital atau penjualan runcit.[9] Lagi butiran lanjut kemudian didedahkan dalam acara Game Developers Conference 2011, termasuklah kemungkinan Sony tidak akan menggunakan media berjenis UMD bagi memberi laluan kepada katrij permainan video yang lebih kecil bersaiz 2 GB dan 4GB,[21] mempunyai dua jenis kamera, berupaya untuk melakukan pengesanan wajah, kepala dan lokasi.[22]

Pelancaran

Pada 6 Jun 2011, semasa dalam acara E3 2011, Sony mengumumkan nama rasmi konsol ini sebagai PlayStation Vita, di mana perkataan "Vita" diambil dari bahasa Latin yang bermaksud "kehidupan"[23]. Walaupun terdapat laporan yang menyatakan bahawa bencana gempa bumi besar yang berlaku di Jepun pada tahun tersebut menyebabkan kelewatan pelancaran konsol Vita ini, Sony mengesahkan bahawa mereka berada di landasan yang betul untuk melancarkan konsol Vita ini yang dijangkakan pada lewat penghujung tahun 2011 bagi pasaran Jepun[24][25] dan pada bulan Februari 2012 untuk pasaran di seluruh dunia[25][26].

Tarikh pelancaran ini kemudiannya dikenalpasti pada 17 Disember 2011 bagi pasaran Jepun[27], dan pada 22 Februari 2012 bagi pasaran di Amerika Utara dan Eropah, walaupun terdapat edisi terhad yang dikeluarkan seminggu sebelumnya di kawasan Amerika Utara, yang terdiri daripada konsol Vita dengan sambungan 3G/WiFi terbina, permainan video Little Deviants, sarung konsol edisi terhad serta memori kad berkapasiti 4 GB[26]. PlayStation Vita kemudiannya dilancarkan di Jepun bersama dengan 26 judul permainan video, dengan Sony menyatakan bahawa terdapat lebih 100 judul permainan video masih lagi dalam pembangunan[28]. Di pasaran Amerika Utara pula, konsol Vita dilancarkan bersama dengan 25 judul permainan video[29], termasuklah judul asal seperti Uncharted: Golden Abyss dan Wipeout 2048 serta judul universal seperti FIFA 12 dan Rayman Origins[30].

Jualan konsol Vita dilihat sangat memberangsangkan pada waktu awal pelancaran, namun begitu menurun dengan mendadak. PlayStation Vita mendapat sambutan hangat di pasaran Jepun, di mana ianya telah terjual lebih dari 300,000 unit pada minggu pertama ianya dikeluarkan, yang kemudiannya menurun sehingga 78% iaitu di bawah 73,000 unit terjual pada minggu kedua, dan anggaran sebanyak 12,000 unit telah terjual pada minggu-minggu berikutnya[31][32]. Situasi yang sama berlaku di Amerika Syarikat, di mana 200,000 unit telah terjual pada bulan pertama ianya dilancarkan di pasaran Amerika Utara, sebelum menurun sehingga 50,000 unit terjual pada bulan-bulan berikutnya[33]. Dilaporkan 1.2 juta unit telah terjual sehingga setakat 26 Februari 2012, selepas konsol ini dilancarkan dalam hampir kesemua pasaran di dunia[34]. Sepanjang tahun 2012, konsol Vita menerima beberapa judul permainan video berprofil tinggi seperti Gravity Rush, LittleBigPlanet PS Vita, Sonic & All-Stars Racing Transformed, Persona 4 Golden, Assassin's Creed III: Liberation, dan Call of Duty: Black Ops: Declassified. Walau bagaimanapun, konsol ini hanya mampu terjual sehingga 4 juta unit di seluruh dunia selepas 10 bulan ianya berada di pasaran[35], dan penganalisis menganggarkan hanya dapat dijual sehingga 6 juta unit selepas dua tahun di pasaran[36]. Selepas tahun 2012, Sony tidak lagi mengeluarkan laporan hasil jualan konsol PlayStation Vita, dan mereka memilih untuk mengeluarkan laporan hasil jualan bersama PlayStation Vita dan PSP[36].


Rujukan

WikiPedia: PlayStation Vita http://arstechnica.com/gaming/2013/04/report-wii-u... http://www.computerandvideogames.com/273297/news/p... http://www.computerandvideogames.com/314207/playst... http://www.engadget.com/2012/02/28/sony-updates-ps... http://www.gamespot.com/articles/ps-vita-sales-to-... http://psp.ign.com/articles/113/1135225p1.html http://www.ign.com/articles/2011/09/14/tgs-sony-re... http://www.ign.com/articles/2013/12/17/playstation... http://www.joystiq.com/2010/09/16/psp2-in-the-hand... http://www.joystiq.com/2011/03/03/ngp-games-will-c...